Sunday, August 14, 2005

Cadangan elak kesesakan wad bersalin

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Berita Harian, Selasa, 9 April 1996 – mukasurat 4 - Ruangan Wanita


Walaupun pengalaman ini telah lama berlalu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, namun saya tetap hendak membicarakannya kerana ingin memberi pandangan untuk memperbaiki keadaan di bahagian perbidanan dan wad bersalin di hospital-hospital kerajaan.

Pada 12 Disember 1994, saya telah ke HTAR untuk pembedahan melahirkan anak. Walaupun saya tiba di hospital awal pagi, saya hanya dapat dimasukkan ke wad pada jam 2.00 petang kerana ketiadaan katil. Saya serta ramai lagi ibu terpaksa menunggu di bilik pendaftaran. Selama menunggu saya sempat membuat beberapa pemerhatian. Pertama sekali, saya begitu kagum dengan kesabaran dan dedikasi doktor dan dua jururawat yang bertugas di bilik pendaftaran pada hari itu. Dalam keadaan yang serba kekurangan dan tidak selesa, mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik. Sepanjang pemerhatian saya, doktor dan jururawat berkenaan tidak sempat langsung menenguk minuman untuk menyiapkan tugas pendaftaran yang agak rumit, selain membuat pemeriksaan ke atas ibu yang sedang menunggu kelahiran bayi.

Oleh kerana masalah ketiadaan katil, ibu-ibu yang sepatutnya dimasukkan ke wad atau ke dewan bersalin (labour room) tidak dapat dihantar. Terpaksalah kami menunggu di bilik pendaftran yang sempit itu. Selain menguruskan ibu-ibu yang hendak bersalin, doktor dan jururawat juga terpaksa melayan kes-kes yang dirujuk dari klinik perbidanan dan sakit puan. Kesibukan bilik pendaftaran pagi itu amat terasa. Selama saya menunggu, terdapat lima atau enam orang ibu yang dikejarkan ke dewan bersalin keranan sudah sampai masanya untuk bersalin.

Kedua, saya memerhatikan keadaan dan sikap kebanyakan ibu-ibu yang menghadapi sakit hendak bersalin (labour) dengan cara negatif. Ibu-ibu ini kelihatan resah, gelisah dan tidak dapat mengawal diri terutama apabila sakit bertambah kuat. Mereka tidak langsung melihat proses kelahiran secara positif; di mana sakit yang dihadapi hanyalah sementara dan semakin kuat sakitnya, semakin hampirlah masa untuk melahirkan anak. Kegembiraan menimbang cahaya mata seharusnya menjadi daya pendorong untuk ibu-ibu menghadapi sakit bersalin. Tetapi berdasarkan pengamatan saya, kebanyakan ibu tidak dapat menghadapi pengalaman ini dengan sabar dan tabah.

Selama lima hari saya berada di wad, saya berpuas hati dengan rawatan serta layanan yang diberikan oleh kakitangan hospital. Walaupun saya mampu ke hospital swasta, saya adalah salah seorang yang masih yakin dengan kemampuan dan kelengkapan hospital kerajaan. Ternyata, tanggapan saya tepat dan kakitangan yang bertugas di wad telah menampilkan kecekapan dalam menjalankan tugas. Untuk mengendalikan pesakit yang ramai, memanglah terdapat kekurangan di hospital kerajaan. Bagi yang mampu, bolehlah ke hospital swasta untuk mendapat layanan istimewa. Tetapi bagi masyarakat umum, hospital kerajaan sajalah tempat mendapatkan rawatan.

Walaupun saya layak mendapat wad kelas satu, saya telah dimasukkan ke wad kelas dua kerana ketiadaan katil di wad kelas satu dan kemudiannya seorang jururawat yang kurang teliti telah memindahkan saya dari ceasar bed ke katil kelas tiga. Saya tidak membuat aduan kerana faham dengan keadaan di wad yang penuh dan menghadapi masalah menempatkan pesakit. Yang penting bagi saya ialah rawatan yang sempurna dan saya serta bayi selamat. Berdasarkan pengalaman yang saya hadapi, saya ingin mengutarakan beberapa cadangan.

Cadangan pertama adalah untuk pihak hospital dan klinik-klinik kerajaan menggalakkan sebahagian ibu-ibu bersalin di rumah. Tugas yang perlu ditangani oleh doktor, jururawat dan kakitangan hospital semakin berat. Sudah tiba masanya untuk kembali kepada cara tradisi yang telah kita warisi sejak dulu lagi itu. Dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan lagi bilangan penduduk negara sudah tentu jumlah kelahiran akan terus bertambah dan permintaan di wad-wad bersalin tentu semakin meningkat.

Ini adalah khusus untuk ibu-ibu yang tiada menghadapi masalah atau kesulitan semasa mengandung. Pihak klinik dan doktor yang mengawasi ibu-ibu mengandung sahaja boleh menasihatkan ibu-ibu yang tiada risiko bersalin di rumah.

Cadangan kedua adalah untuk pihak Kementerian Kesihatan melatih dan mengiktiraf bidan-bidan kampung. Bidan-bidan ini boleh diberi pendidikan mengenai cara saintifik dan rawatan terkini dalam bidang perbidanan. Setelah mengikuti latihan tertentu, mereka ini boleh diberikan sijil kelayakan yang mengiktiraf mereka menguruskan kelahiran di rumah. Bidan-bidan ini adalah petugas yang memperluaskan perkhidmatan perbidanan hospital ke kawasan perumahan, terutama di kampung-kampung.

Cadangan ketiga adalah bagi pihak Jabatan Kesihatan dan hospital memainkan peranan mendidik masyarakat mengenai proses kelahiran. Cadangan terakhir yang saya ingin utarakan adalah bagi pihak hospital untuk memperkenalkan perkhidmatan sukarela sebagai sokongan. Hospital boleh mewujudkan sekumpulan sukarelawan di kalangan masyarakat setempat untuk bekerjasama dengan kakitangan hospital dalam memberi sokongan moral mahupun praktikal kepada ibu yang hendak bersalin dan juga ibu yang menghadapi masalah selepas bersalin. Kumpulan sukarelawan ini akan bergandingan dengan kakitangan hospital untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit. Dengan itu, pengalaman melahirkan anak akan menjadi peristiwa yang bermakna kepada ibu-ibu. Pandangan ini bertujuan untuk mempertingkatan kualiti perkhidmatan perbidanan di hospital kerajaan kita. Pelaksanaan perlu diteliti oleh pihak-pihak terbabit. Saya yakin keadaan di bahagian perbidanan dan wad bersalin hospital kerajaan boleh diperbaiki lagi demi kebaikan semua pihak.


Habsah Hashim
Kajian Senibina, Perancangan dan Ukur
Institut Teknologi MARA
Shah Alam, Selangor

No comments: