Sunday, August 14, 2005

Pendidikan Khas: Suatu realiti atau impian

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Bertia Harian, Khamis,14 November 1996, mukasurat 26 (Ruangan ADD)

Oleh Habsah Hashim


Sekolah Bestari serta Penilaian Tahap Satu (PTS) yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah antara beberapa program terbaru bagi anak-anak pintar. Semua program itu bertujuan untuk mengembangkan potensi sepenuhnya murid-murid normal yang cerdik. Dalam keghairahan membentuk anak-anak yang bakal menjadi pemimpin masa depan, seolah-olah keperluan bagi anak-anak kurang cerdik yang mempunyai pelbagai masalah pembelajaran diabaikan. Golongan yang dimaksudkan ini ialah anak-anak istimewa yang kini ditempatkan di kelas khas bermasalah pembelajaran (KKBP) di beberapa sekolah di seluruh negara.

Langkah kerajaan mewujudkan kelas khas ini patut mendapat pujian. Tetapi pembukaan kelas khas sahaja tidak mencukupi, tanpa program pelaksanaan yang rapi. Setelah lebih kurang enam tahun KKBP diwujudkan, satu penelitian serius haruslah dilakukan segera agar masalah dapat dikenal pasti serta ditangani dengan bijak.

Sebagai ibu bapa yang mempunyai seorang anak istimewa yang kini bersekolah di KKBP kami ingin memberi pandangan serta cadangan ke arah memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di kelas khas, yang semakin bertambah bilangannya dari tahun ke tahun. Kini, beberapa kelas sudah pun diwujudkan di sekolah menengah. Tanpa program khusus dan tersusun pelajar di KKBP tidak akan mendapat manfaat sepenuhnya dari sistem persekolahan. Bakat serta potensi yang ada pada murid-murid istimewa ini tidak akan dapat dicungkil dan digilap. Murid Kelas Khas akan tetap terpinggir daripada rakan-rakan mereka yang normal walaupun mereka berada di sekolah yang sama.

Dalam membincangkan isu ini, perkara utama yang perlu dipersetujui bersama adalah hakikat bahawa setiap insan yang dilahirkan mempunyai potensi tersendiri. Bagi anak normal, potensi yang ada akan terserlah tanpa disedari ibu bapa atau guru. Dengan dorongan serta sokongan pula, mereka mampu menempa kejayaan cemerlang. Tetapi, bagi anak istimewa ini, potensi dan bakat yang dianugerah Allah SWT tidak akan timbul tanpa bantuan dan rangsangan ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling.

Untuk mencari potensi dan membongkar bakat anak istimewa ini bukanlah tugas yang mudah. Lebih awal usaha ini dimulakan, lebih cerahlah harapan untuk mengasah bakat dan potensi anak ini agar mereka bukan sahaja boleh berdikari, tetapi mampu menjadi rakyat berguna. Tanggapan bahawa anak sebegini perlu bergantung kepada belas ishan dermawan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat semata-mata perlu dikikis. Kita semua sedar bahawa pendidikan awal amat penting bagi seseorang kanak-kanak.

Ia bertamabah penting bagi anak istimewa ini. Usia awal yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya bukan saja menyekat perkembangan minda, tetapi juga membantut penguasaan kemahiran asas seperti penjagaan diri dan pergaulan dengan rakan sebaya. Jika mereka diberi peluang dan sokongan, anak istimewa akan kelihatan lebih “sama” dengan rakan mereka yang normal.

Penubuhan Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran di sekolah bantuan penuh kerajaan adalah langkah proaktif oleh Kementerian Pendidikan. Jika di negara maju, isu “mainstreaming” dan pendidikan inklusif sedang hangat dibahaskan dalam dekad ini, negara kita sudah pun melaksanakannya. Di England misalnya, masih ramai ibu bapa anak istimewa yang tidak mahu anak mereka dihantar ke sekolah biasa kerana ditakuti anak itu akan terpinggir. Mereka lebih rela anak itu di tempatkan di sekolah khas yang serba lengkap dan mempunyai segala sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak.

Di negara kita, sekolah khas banyak diwujudkan oleh badan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Penubuhan Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran melambangkan komitmen dan keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan anak istimewa.

Aspek pertama yang paling penting diberi perhatian ialah dari segi tenaga pengajar. Berdasakan pengalaman kami, guru perintis kelas khas lapan tahun lalu adalah guru berpengalaman yang sungguh komited serta ingin mencurah bakti kepada anak istimewa sebelum persaraan. Walaupun tanpa latihan khusus dalam pendidikan khas, pengalaman, komitmen serta kesungguhan guru ini dapat mengendalikan murid istimewa bermasalah pembelajaran serta menubuhkan kelas khas perintis di beberapa sekolah.

Namun, kebelakangan ini didapati guru kelas khas sering bertukar ganti. Kini, guru muda lepasan maktab serta guru sandaran di tempatkan di kelas khas. Tidak dinafikan bahawa ada diantara mereka yang berminat serta mula menyayangi murid istimewa ini setelah mengajar, namun tanpa pengalaman dan latihan dalam pendidikan khas, mereka tidak dapat mendidik dengan berkesan. Adalah tidak adil jika murid istimewa dijadikan bahan eksperimen bagi guru muda menimba pengalaman mendidik. Adalah lebih mudah bagi guru muda ini menimba pengalaman di kelas murid normal. Guru berpenglaman mengajar di sekolah biasa adalah lebih sesuai di tempatkan di kelas khas bermasalah pembelajaran ini, sementara menunggu guru tempatan yang terlatih dalam pendidikan khas yang bakal keluar dari MPIK dan UKM.

Guru berpengalaman yang dimaksudkan adalah guru yang mengetahui asas dan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Guru ini hanya perlu menambah sedikit pengetahuan tentang keunikan anak istimewa serta mendalami bidang pendidikan khas. Tentunya anak didik istimewa akan mendapat lebih manfaat jika diasuh oleh guru berpengalaman. Guru yang mengajar kelas khas juga wajar diberi ganjaran serta insentif kerana tidak ramai antara kita yang sanggup memikul tanggungjawab ini.

Aspek kedua yang perlu diberi perhatian adalah kurikulum. Melalui pengamatan, didapati murid istimewa dikehendaki mengikuti kurikulum biasa, cuma pada tahap yang lebih rendah daripada usia mereka. Bagi sebahagian murid pemulihan, program sedemikian adalah sesuai. Mereka boleh mengambil peperiksaan utama seperti UPSR, PMR dan SPM. Tetapi malangnya, bagi sebahagian besar murid istimewa, ini adalah di luar kemampuan mereka. Namun, itu tidak bermakna anak itu gagal dalam persekolahan. Sebaliknya, sistem persekolahan bagi anak istimewa ini haruslah bersesuaian dengan keupayaan mereka, yang mungkin lemah daya inteleknya, tetapi memiliki bakat dan potensi yang tersendiri. Mereka perlukan satu kurikulum yang fleksibel dan tidak hanya mementingkan pencapaian akademik, tetapi kejayaan dalam hidup. Kurikulum Pendidikan Khas seharusnya bertumpu kepada kemahiran asas berdikari, pencernaan tingkah laku yang diterima masyarakat dan seterusnya pembekalan kemahiran kreatif yang boleh dimanfaatkan oleh anak-anak ini agar mereka boleh menjadi ahli masyarakat yang berguna.

Aspek seterusnya ialah keperluan membabitkan tenaga professional dan pakar dalam pendidikan khas. Anak istimewa sering menghadapi pelbagai masalah kesihatan dan ketidaksempurnaan. Ada yang kurang sempurna anggota fizikal, penglihatan dan pendengaran selain menghidapi masalah kesihatan seperti masalah jantung, paru-paru, usus dan serangan sawan. Segala masalah ini menyebabkan keganjilan anak-anak ini, yang mungkin mempunyai tingkah laku luar biasa di mata masyarakat sekeliling. Oleh itu, pengendalian pendidikan khas perlu mendapat sokongan tenaga professional dan pakar seperti ahli terapi fizikal, ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan serta ahli psikologi kanak-kanak.

Didapati tenaga professional dan pakar ini amat kurang di Malaysia. Sebahagian daripada mereka berada di hospital kerajaan, sementara sebahagian lagi berkhidmat secara persendirian. Ada juga antara mereka yang menyumbang tenaga secara sukarela di pusat dan institut kebajikan. Ternyata Malaysia kekurangan tenaga professional sebegini. Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah segera termasuk mempelawa tenaga pakar asing jika perlu.

Aspek terakhir yang boleh menyumbang kepada kejayaan Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran adalah sokongan ibu bapa serta masyarakat setempat. Kebanyakan kelas khas mempunyai badan kebajikan yang bernaung di bawah PIBG sekolah. Pembabitan aktif ibu bapa dalam badan kebajikan ini amat perlu supaya ia menjadi landasan bagi perbincangan, menyelesaikan masalah serta mengatur pelbagai program bagi membantu pelajar istimewa. Ibu bapa tidak boleh mengambil sikap lepas tangan dan menyerahkan segalanya kepada guru. Pendidikan yang berkesan memerlukan kerjasama di antara ibu bapa dan guru. Selain itu masyarakat setempat juga harus memberi sokongan moral dan semangat kepada kanak-kanak ini terutama apabila mereka akan meninggalkan bangku sekolah dan perlu menyesesuaikan diri dengan masyarakat. Setidak-tidaknya ini adalah cara paling mudah dilakukan oleh masyarakat.

Kesimpulannya, apa yang telah diutarakan merupakan masalah mengenai program pendidikan khas sekolah bantuan penuh kerajaan dan harapan daripada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Sama ada impian ini akan menjadi realiti bergantung kepada kesungguhan dan keikhlasan semua pihak yang terbabit. Sesungguhnya amanah ini adalah suatu cabaran dalam pembentukan masyarakat madani berbudaya penyayang.

No comments: