Friday, August 12, 2005

Kemiskinan tersorok kerana sikap

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Utusan Malaysia, Khamis, 12 April 2001, mukasurat 7 (Ruangan Rencana / Kolum Pendapat)


Konvensyen Gerakan Desa Wawasan Peringkat Kebangsaan 2001 baru berlangsung di Shah Alam baru-baru ini. Falsafah dan strategi pembangunan luar bandar yang dilancarkan pada 28 November 1994 di Bandar Pusat Jengka, Pahang itu bermatlamat untuk ‘mewujudkan masyarakat desa yang berdaya tahan, berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki disiplin kerja yang tinggi untuk melaksanakan pemodenan desa’. Gerakan itu bertujuan untuk menjadikan kawasan luar bandar ‘maju, menarik dan mengutungkan’.

Sehingga kini lebih daripada 5,000 buah kampung telah diberi taraf sebagai kampung Gerakan Desa Wawasan (GDW). Dalam Rancangan Malaysia Kelapan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat untuk memperluaskan lagi GDW hingga mencapai 21,000 buah kampung. Banyak agensi kerajaan seperti Kemas, RISDA, Felcra dan lain-lain memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan transformasi kedua bagi kawasan luar bandar ini. Institut Kemajuan Desa (INFRA) merupakan institusi yang baru diwujudkan di KPLB untuk memberi latihan serta mempertingkatkan penyelidikan dalam arena pembangunan luar bandar.

Falsafah dan strategi baru pembangunan luar bandar ini amat baik dan murni sekali, namun pelaksanaannya menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Hasilnya, usaha untuk membangunkan kampung-kampung GDW tidak dapat menepati sasaran. Walaupun ada kampung yang berjaya, masih banyak lagi kampung-kampung lain yang terus mundur dan terpinggir. Salah satu sebab kelembapan pelaksanaan program GDW ini adalah kerana kegagalan untuk mengenal pasti masalah sebenar di sesebuah kampung itu. Ada enam kepincangan yang menyebabkan masalah sebenar kawasan luar bandar tidak dapat dikenal pasti.

Pertama, kepincangan ruang di mana pegawai dan pemimpin yang melawat kampung tidak dapat melihat keseluruhan kampung kerana lawatan mereka terhad kepada kawasan sekitar jalan yang bertar dan laluan yang berturap sahaja. Anggota masyarakat desa yang benar-benar miskin dan memerlukan bantuan sering berada di pedalaman dan jauh dari laluan utama sesebuah kampung.

Kedua, kepincangan projek di mana pegawai dan pemimpin hanya dibawa melihat projek yang menjadi kebanggaan desa berkenaan yang selalunya diurus dengan lebih baik serta mendapat peruntukan yang lebih tinggi.

Ketiga, kepincangan diri yang mengakibatkan pegawai dan pemimpin hanya berjumpa dan berinteraksi dengan individu yang berkuasa, berjawatan dan berada sahaja. Kumpulan sasaran sebenar tidak mungkin tampil ke hadapan kerana golongan miskin selalu diletak di baris belakang dan sukar dilihat.

Keempat, kepincangan musim di mana lawatan ke luar bandar sering diatur pada masa-masa tertentu yang dianggap sesuai. Oleh itu, masalah sebenar tidak dapat dilihat kerana keadaan yang paling sukar adalah pada masa dan keadaan yang lain. Contohnya musim tengkujuh di negeri-negeri Pantai Timur merupakan musim yang paling susah bagi kaum nelayan. Bagaimanapun, tidak ramai pegawai dan pemimpin yang ingin melawat pada musim tersebut kerana bimbangkan banjir.

Kelima, kepincangan diplomatik juga menyebabkan masalah terlindung. Pemimpin kampung yang meraikan pegawai serta pemimpin luar terdiri daripada mereka yang berpengaruh dan berjawatan di kampung berkenaan. Oleh kerana sifat segan, malu dan tidak mahu membuka pekung di dada, projek-projek yang gagal serta masalah kampung tidak akan diketengahkan dan dilaporkan kepada pegawai dan pemimpin yang datang melawat.

Keenam, kepincangan professional menyebabkan sesuatu kajian kes itu tidak dapat dilihat dari sudut kumpulan sasaran itu sendiri. Dalam pembangunan desa, kumpulan sasaran adalah masyarakat kampung yang miskin.

Para professional yang mewakili pelbagai agensi sering memberi tumpuan kepada golongan yang menunjukkan kejayaan sahaja. Pengkhususan ahli professional ini juga menyukarkan mereka melihat kemunduran luar bandar secara meyeluruh. Dalam konteks ini, walaupun golongan professional sudah dianggap sebagai golongan yang bijak pandai, mereka juga perlu berada di luar bandar.

Oleh kerana kepincangan-kepincangan tersebut, lawatan-lawatan ke kawasan luar bandar yang dilakukan oleh pegawai-pegawai dari agensi kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Lawatan-lawatan ‘turun padang’ sebegini dianggap sebagai pelancongan pembangunan luar bandar yang tidak dapat melihat kemunduran serta kemiskinan masyarakat yang menjadi sasaran pembangunan.

Dalam pelaksanaan GDW, strategi perancangan pembangunan dari atas ke bawah sudah digantikan dengan strategi dari bawah ke atas. Jawatankuasa kemajuaan dan Keselamatan Kampung (JKKK) harus menjadi tonggak pelaksanaan program GDW. Para pegawai dari pelbagai agensi kerajaan menjadi penggerak dan pembimbing kumpulan masyarakat desa yang ingin memajukan diri dan kampung masing-masing.

Bagaimanapun, berbagai faktor serta kekangan melembabkan pelaksanaan program GDW. Lima perkara utama perlu diberi perhatian, iaitu kurangnya komitmen politik, rintangan birokrasi, kelemahan dalam reka bentuk projek, kekurangan sumber terutamanya kewangan dan kekangan dalam persekitaran projek yang meliputi faktor sejarah, peranan pemimpin tempatan dan kekurangan prasarana.
HABSAH HASHIM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Rujukan:
Chambers, Robert (1983), Rural Devlopment: Putting the Last First, London: Longman
Gow, David D. and Jerry Van Sant (1985), Decentralization and Participation: Concepts in Need of Implementation Strategies in Implementing Rural Development Projects: Lessons from USAID and World Bank Experiences, Edited by Moss Elliot R. and David. D. Gow, Boulder: Westview Press.

No comments: