Friday, August 12, 2005

Membentuk pemimpin masyarakat cemerlang

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Berita Harian, 4 Julai 1996, mukasurat 10 (Editor’s Page)


Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, mencadangkan supaya semua taman perumahan di negeri itu memiliki lima peratus pemimpin dan pemikir bagi mengendalikan urusan dan program kemasyarakatan amat dialu-alukan. Beliau yakin menerusi langkah itu, setiap taman perumahan dapat menganjurkan aktiviti sendiri serta mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah untuk masyarakat setempat. Benarkah? Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah, Kajian Seni Bina, Perancangan dan Ukur ITM, HABSAH HASHIM mengulas.


Saranan Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib supaya komuniti mempunyai barisan pemimpin yang pemikir amat bertepatan dengan pemikiran Sanders (1952) dalam bukunya Making Good Communities Better. Sanders berpendapat ada empat ciri utama sesebuah komuniti atau masyarakat yang dianggap baik, iaitu:

Mempunyai pemimpin berfikiran terbuka;
Meyelesaikan masalah secara kolektif;
Mempamerkan semangat setia kepada komuniti yang tinggi;
Mempunyai ekonomi yang stabil.

Ciri pertama dan yang paling penting adalah kehadiran pemimpin yang berfikiran terbuka. Pemimpin begini bukan sahaja mampu melahirkan idea baru, tetapi dapat juga berkongsi pandangan dengan masyarakat. Malangnya, ramai pemimpin masyarakat masa kini yang berfikiran sempit dan hanya memikirkan kepentingan peribadi. Akibatnya, terbentuklah masyarakat yang statik, tidak ambil tahu keadaan jiran dan tidak menghiraukan kualiti persekitaran perumahan.

Kepimpinan dalam sesebuah masyarakat mempunyai pelbagai bentuk. Ritchie P Lowry (1962) dalam bukunya Who’s Running This Town membentangkan penjenisan pemimpin oleh Merton. Robert Merton menggariskan tiga jenis pemimpin dalam sesebuah masyarakat iaitu:
Pemimpin tempatan;
Pemimpin kosmopolitan;
Pengantara.

Pemimpin tempatan adalah orang yang lahir atau tinggal di sesebuah kawasan sepanjang usianya. Pemimpin ini mempunyai karisma dan dikenali serta disegani oleh masyarakat setempat dan sering dipilih menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat tempatan. Mereka sering dirujuk oleh anak-anak buah dalam pelbagai aspek kehidupan; tetapi malangnya kebanyakan pemimpin tempatan ini berfikiran sempit dan bersifat kedaerahan. Akibatnya, nasihat dan pandangan yang diberikan sering melambangkan pandangan lama dan nilai lapuk yang tidak sesuai lagi di era teknologi masa kini.
Berlawanan dengan pemimpin tempatan, pemimpin kosmopolitan pula adalah seorang yang sering bertukar dan adalah muka baru dalam sesebuah masyarakat. Pemimpin ini mempunyai pengetahuan, kemahiran serta kepakaran dan sering menguasai jawatan yang dilantik. Walaupun berilmu dan berpengetahuan, mereka tidak bergaul dengan anggota masyarakat umum; tetapi hanya berinteraksi dengan rakan sekerja serta kenalan yang terhad. Akibatnya, segala ilmu dan pengetahuan tidak dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umum.

Konflik, perbalahan dan pertentangan fikiran sering terjadi di antara pemimpin tempatan dan pemimpin kosmopolitan. Ini tidak dapat dielakkan kerana seorang terlalu ingin mengekalkan status quo sementara seorang lagi terlalu inginkan perubahan. Kehadiran dua jenis pemimpin ini saja tidak dapat menjamin pembangunan dan peningkatan masyarakat. Setiap masyarakat memerlukan pemimpin yang ketiga, iaitu seorang yang bertugas sebagai pengantara.

Seseorang pengantara mampu menjadi penampan dan bertindak sebagai saluran komunikasi di antara pemimpin tempatan dan pemimpin kosmopolitan. Setiap komuniti sama ada di bandar atau desa mempunyai ketiga-tiga jenis pemimpin, sebagaimana yang dibentangkan oleh Merton. Bagaimanapun, ternyata peranan yang dimainkan oleh pemimpin setakat ini adalah kurang berkesan. Sebagai penggerak, mereka seharusnya mampu memandu orang ramai dan membentuk projek kemasyarakatan. Beberapa cadangan diutarakan di sini supaya pemimpin akan menjadi penggerak yang lebih berkesan dan produktif.

Pertama, pemimpin tempatan yang sering disegani masyarakat amat sesuai menjadi pemimpin sosial. Pemimpin tempatan hendaklah memberi tumpuan kepada manusia dan kumpulan-kumpulan dalam masyarakat serta perhubungan di antara mereka. Tugas utama pemimpin ini adalah untuk mempertingkatkan perhubungan sosial, mengurangkan perbalahan dan konflik serta mengekalkan keutuhan sistem sosial masyarakat setempat.

Kedua, pemimpin kosmopolitan yang sering memegang jawatan peting dalam masyarakat amat sesuai menjadi pemimpin bertindak. Dengan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang diperolehi, pemimpin kosmopolitan mampu membawa perubahan di dalam masyarakat. Tugas utama pemimpin ini adalah untuk menggalakkan pembaharuan dan pembangunan fizikal, ekonomi dan kemasyarakatan. Mereka ini haruslah bersedia untuk menghulurkan bantuan dan berkongsi pandangan dengan anggota masyarakat setempat.

Ketiga, pengantara yang sering sering bertanggungjawab melaksanakan projek dan program harus mengekalkan fungsi sebagai penyelaras dan fasilitator. Dalam konteks Malaysia, mereka yang berfungsi sebagai pengantara ini adalah pegawai kerajaan dan tidak kekal lama di sesebuah tempat kerana pembangunan kerjaya dan kepentingan perkhidmatan. Pengekalan pengantara lebih lama di sesebuah tempat serta memilih orang tempatan ke jawatan tersebut akan dapat meningkatkan komitmen mereka terhadap pembangunan dan kemajuan tempat berkenaan.

Ketiga-tiga jenis pemimpin yang telah diutarakan perlulah berganding bahu untuk kepentingan masyarakat. Tugas mereka adalah untuk membina keupayaan merancang, menganjur dan melaksanakan program dan projek di kalangan masyarakat ‘setempat’.

Pemimpin juga perlu mendapatkan khidmat tenaga pakar untuk membantu dalam merancang dan melaksanakan sesuatu aktiviti. Sanders menyatakan komuniti hendaklah menggunakan sepenuhnya sumber yang diperolehi termasuk khidmat tenaga pakar. Tenaga pakar akan memberi panduan kepada sesebuah komuniti dan sekali gus mengurangkan pembaziran tenaga, masa dan belanja. Selain dapat mengenali dan menjalin silatulrahim dengan orang ramai, tenaga pakar ini juga dapat berkongsi pengetahuan dan mendidik masyarakat mengenai pelbagai aspek yang berkaitan dengan projek yang sedang diusahakan. Bagaimanapun, pemimpin haruslah berwaspada dalam mendapatkan khidmat tenaga pakar agar mereka tidak mempengaruhi keputusan dan kehendak masyarakat. Khidmat tenaga pakar hanya perlu di sesuatu peringkat dan untuk sesuatu tujuan sahaja.

Antara tenaga pakar yang boleh memberi input kepada program dan projek kemasyarakatan adalah pakar sosial, ahli psikologi, ahli ekologi, perancangan bandar, arkitek, landskap, jurutera dan akuatan. Bagi masyarakat majmuk, input daripada pelbagai institusi ibadat juga boleh dimanfaatkan. Perlantikan tenaga pakar ini haruslah selaras dengan bentuk projek dan program yang diusahakan.

Dalam merealisaikan cadangan Menteri Besar Selangor, langkah pertama adalah untuk menggubal proses pelaksanaannya. Ketiga-tiga jenis pemimpin perlu dikenal pasti dan peranan yang perlu dimainkan mereka diperincikan. Diharap Taman Fikrah di Seksyen 7 Shah Alam mampu menjadi model komuniti cemerlang.

No comments: