Friday, August 12, 2005

Ubah strategi untuk bangunkan desa

Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Utusan Malaysia, Isnin, 23 April, 2001, mukasurat 7 (Ruangan Rencana/ Kolum Pendapat)


Dasar pengagihan kuasa dan penyertaan akar-umbi merupakan ramuan utama yang memastikan kejayaan sesuatu projek. Pengagihan kuasa bermaksud menyerahkan kuasa membuat keputusan dan kawalan terhadap pengurusan inisiatif dan sumber pembangunan dari pusat ke pinggir. Penyertaan pula bermaksud autonomi tempatan yang membolehkan masyarakat setempat menemui berbagai cara menentukan pilihan dan seterusnya berupaya untuk mengurus sendiri masa depan mereka.

Walaupun semua pihak bersetuju bahawa dasar pengagihan dan penyertaan masyarakat setempat sebagai pendekatan yang terbaik bagi pembangunan luar bandar, banyak projek yang dilaksanakan menemui kegagalan atau jika berjaya pun, hanyalah pada tahap minimum sahaja. Antara ciri-ciri projek sedemikian adalah:
· Ketidaksediaan kementerian–kementerian untuk menyerah-kuasa secara bermakna kepada kakitangan projek.

· Ketidaksediaan kakitangan projek untuk membenarkan masyarakat setempat mengambil bahagian dalam membuat keputusan.

· Keengganan atau keberatan pihak masyarakat setempat untuk turut serta dalam kegiatan yang dirancang.

· Kejayaan pemimpin tempatan memutarbelit sumber-sumber bagi projek untuk kepentingan sendiri.

· Sokongan pihak atasan yang semakin berkurangan apabila usaha masyarakat setempat melampaui keputusan mengenai projek yang sedang berjalan.

Para pakar membahagikan cadangan untuk mengatasi masalah pengagihan kuasa kepada lima bahagian. Pertama dasar pembangunan luar bandar di peringkat kebangsaan. Dalam konteks negara kita, penggubalan dan pelancaran ‘Falsafah dan Strategi Baru Luar Bandar’ pada tahun 1994 telah menggariskan dasar yang amat jelas dan yang terbaik dari Kerajaan Persekutuan. Cabaran utama yang harus ditangani oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini adalah untuk merealisasikan dasar ini secara sempurna.

Bahagian kedua meliputi cadangan yang melibatkan proses birokrasi. Perkara paling penting adalah untuk mengubah sikap dan tabiat kakitangan di lapangan. Kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan yang berkhidmat di lapangan hendaklah diberi kuasa agar mereka boleh menggerakkan sumber dalam melaksanakan tugas. Selain itu, mereka juga perlu diberi peluang untuk membuat perubahan bagi kemajuaan dan memberi input dalam sesuatu keputusan. Komitmen kerja akan meningkat jika kakitangan di setiap peringkat diberi kepercayaan untuk mengurus sumber yang di bawah kawalan mereka.

Seterusnya adalah cadangan yang berkaitan dengan reka bentuk projek dan pengurusannya. Bagi menjamin kejayaan projek yang dirancang, pendekatan proses dicadangkan. Antara ciri-ciri pendekatan ini adalah seperti berikut:
Ia berteraskan dialog dengan penduduk desa. Oleh itu, kehendak dan keupayaan mereka boleh diambil kira.

Ia membolehkan perubahan dalam struktur birokrasi. Sehubungan itu ia boleh disesuaikan dengan senario politik, sosial, ekonomi serta fizikal semasa pelaksanaan projek.
Ia berdasarkan kepada pencarian ilmu dan membina keupayaan setempat. Oleh itu, ia dapat memajukan pembangunan yang berterusan.

Ia memindahkan hak milik program kepada pelaksana. Yang demikian ia menggalakkan inovasi dalam menyelesaikan masalah dan tidak hanya mengikut amalan rutin.

Ia boleh mengelakkan kesan sampingan dengan menghapuskan komponen reka bentuk yang tidak sesuai.

Bahagian keempat melibatkan cadangan yang berkaitan dengan penjanaan sumber kewangan. Kerajaan Pusat mempunyai tiga pilihan peruntukan kewangan iaitu peruntukan mengikut kategori, peruntukan secara terus dan peruntukan secara perkongsian hasil. Selain dari sumber keperluan kewangan untuk memulakan projek, perlu juga mempertimbangkan aktiviti-aktiviti bagi menghasilkan pendapatan. Ini perlu untuk menampung kos operasi projek yang sedang dijalankan dan bagi memulakan projek-projek baru.

Akhir sekali adalah cadangan-cadangan yang berkaitan dengan membina keupayaan pertubuhan yang menerima projek. Dalam konteks Gerakan Desa Wawasan (GDW), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) merupakan pertubuhan yang dimaksudkan.

Antara ciri-ciri yang diperlukan bagi pertubuhan ini termasuklah kemahiran organisasi, menggunakan maklumat dan memahami proses membuat dan melaksanakan keputusan.

Untuk menjayakan dasar penggagihan kuasa dan penyertaan akar-umbi ini memerlukan banyak perubahan. Ada pakar mengutarakan perlunya kepada profesionalisme baru. Professional baru yang dimaksudkan terdiri daripada mereka yang berani membuat tindakan berpandangan baru ini telah ada. Mereka inilah yang memilih untuk membuat projek dan memberi peruntukan kepada kawasan terpinggir dan masyarakat miskin.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) harus melipatgandakan usaha untuk meramaikan lagi golongan ini agar transformasi kedua luar bandar dapat direalisasikan. GDW merupakan satu program pembangunan yang amat jelas dan terbaik dalam usaha membasmi kemiskinan dan membangunkan kawasan luar bandar.

Agensi-agensi di bawah KPLB perlu menilai input masing-masing setakat ini dan membuat perubahan segera agar pelaksanaan program GDW dapat diakukan lebih cekap dan berjaya.
HABSAH HASHIM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Rujukan:
Chambers, Robert (1983), Rural Devlopment: Putting the Last First, London: Longman
Gow, David D. and Jerry Van Sant (1985), Decentralization and Participation: Concepts in Need of Implementation Strategies in Implementing Rural Development Projects: Lessons from USAID and World Bank Experiences, Edited by Moss Elliot R. and David. D. Gow, Boulder: Westview Press.

No comments: