Thursday, September 08, 2005

TV3 perlu lebih prihatin tayang filem

Warkah Kepada Pengarang Akhbar Berita Harian
Disiarkan pada hari Selasa, 2 Jun 1998, mukasurat 9 (Ruangan Surat)


SYABAS TV3 kerana prihatin terhadap kanak-kanak yang bercuti sekolah baru-baru ini dengan menayangkan pelbagai cerita menarik. Namun filem Aladdin yang ditayangkan pada petang Isnin, 11 Mei 1998 amat mengecewakan. Ia mempersendakan bangsa Arab dan agama Islam.

Aladdin adalah sebuah cerita dalam Kisah Seribu Satu Malam yang berlaku di tanah Arab pada zaman dulu. Ia adalah sebuah cerita menarik, penuh dengan budaya serta tradisi bangsa Arab yang mendapat perhatian pengeluar siaran kartun utama Disney.

Filem Aladdin yang ditayangkan oleh TV3 diubah sebegitu rupa hingga tidak lagi melambangkan cerita sebenar. Kanak-kanak yang menghayati cerita Aladdin, dapat mengesan kesilapan dalam jalan ceritanya. Setting serta pakaian ala Cina amat tidak sesuai dengan cerita Aladdin. Paling mendukacitakan penampilan Fatima, the Dancing Doll yang dihadiahkan kepada Maharaja Cina. Fatima ditampilkan sebagai penari gelek Arab dengan pakaian mengaibkan.

Sebenarnya dalam cerita asal, tidak wujud pun patung tari Fatima. Apakah pengeluar filem ini sengaja membuat pengubahsuaian cerita, watak, setting serta pakaian untuk menembusi pasaran di Asia Timur? Walau apa pun motif pengeluar filem ini, TV3 seharusnya lebih berhati-hati memilih filem yang ditayangkan. Sebagai sebuah stesen penyiaran utama, TV3 perlu lebih bertanggungjawab terutama dalam membentuk minda serta minat penonton kanak-kanak yang belum pandai menilai intan atau kaca.

Lidah Buaya
Shah Alam

No comments: