Thursday, September 08, 2005

Pendaftaran anak cacat kurang sambutan

Warkah Kepada Pengarang Akhbar Berita Harian
Disiarkan pada hari Rabu, 16 April 1997, mukasurat 11 (Ruangan Surat)

SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Peter Tinggom, yang dipaparkan dalam ‘Renungan Selasa’ Harian Wanita 1 April 1997.

Saya menyokong kenyataan bahawa kesedaran mendaftar anak kurang upaya di kalangan orang ramai patut dipertingkatkan. Kementerian sudah melancarkan kempen untuk mendaftar orang kurang upaya pada Mei tahun lalu, tetapi tiada sambutan dan sokongan daripada masyarakat.

Anak istimewa yang berdaftar masih terlalu kecil bilangannya dibanding dengan anggaran kementerian yang berpandukan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Namun, untuk menuduh ibu bapa bersikap acuh tak acuh atau malu tidak bertempat kerana mempunyai anak kurang upaya sebagai punca kegagalan program kerajaan adalah ibarat menuding jari, mencari kesilapan orang tanpa mengkaji serta mencermin diri dan mencari kesilapan sendiri.

Tidak dinafikan ada di antara ibu bapa yang bersikap acuh tak acuh dalam hal ini. Namun Kementerian Pembangunan Negara dan Pembangunan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri serta Daerah sepatutnya mengatur langkah untuk mengenalpasti keluarga malang ini.

Pelbagai organisasi di peringkat kampung, taman perumahan dan mukim boleh digerakkan dengan usaha ini.

Ibu bapa yang bersikap begini selalunya tidak menyedari akan program kementerian ataupun terbelenggu dengan pemikiran kolot anak istimewa membawa aib kepada keluarga, lantas ia disorok di rumah saja. Keluarga dan anak istimewa begini amat memerlukan ihsan serta sokongan.

Pada pandangan saya, kebanyakan ibu bapa lebih bersikap terbuka dan sedar perkembangan semasa serta fungsi mereka. Saya pasti ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tentu dinasihati doktor yang mengesan kecacatan anak mereka dan dirujuk kepada pertubuhan kerajaan atau badan sukarela berhampiran yang dijangka dapat membantu menangani masalah anak mereka.

Dalam proses membesarkan anak ini sudah pasti mereka pernah mengisi satu atau beberapa jenis borang. Setiap organisasi mempunyai borang tersendiri sebagai rekod mereka; ada juga yang menggunakan borang Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tujuan kemasukan ke sekolah khas.

Ibu bapa begini tentu berpendapat mereka sudah melaksanakan tanggungjawab mendaftar anak istimewa mereka. Namun, hakikatnya, borang itu tidak dimajukan kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat kerana ia hanya digunakan oleh pertubuhan tertentu saja. Anak ini masih tidak termasuk dalam statistik orang kurang upaya negara.

Satu langkah yang boleh diambil oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat adalah untuk menyemak daftar di setiap pertubuhan kebajikan serta sekolah khas yang wujud di seluruh negara serta membandingkannya dengan pangkalan data di kementerian.

Selain itu, borang pendaftaran ini juga boleh diagihkan kepada hospital serta klinik kerajaan dan swasta untuk diberikan kepada ibu bapa yang berkenaan.

Langkah itu bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan. Golongan kurang upaya hanyalah peratus daripada jumlah penduduk negara.

Selain isu mendaftarkan anak kurang upaya, saya rasa Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat perlu menghadapi satu isu yang lebih mencabar menjelang alaf baru ini. Dalam keghairahan Malaysia menuju taraf negara maju, masyarakatnya juga perlu maju.

Pembentukan masyarakat penyayang adalah satu cabaran Wawasan 2020. Apakah masyarakat Malaysia mampu mempamerkan ciri masyarakat maju yang penyayang dalam jangkamasa yang amat singkat ini?

Kenyataan bahawa ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya bersikap ‘malu tidak bertempat’ melambangkan ceteknya pengetahuan serta kefahaman mengenai kehidupan insan serta keluarga yang kurang bernasib baik. Mereka terpaksa mengharungi pelbagai rintangan serta berdepan dengan bermacam cabaran.

Malu mereka bertempat; masyarakat terlalu kejam; insan sempurna bertindak zalim terhadap insan cacat. Ternyata perjalanan kearah pembentukan masyarakat penyayang masih terlalu jauh jika program tindakan yang mantap tidak diatur.



Lidah Buaya
Shah Alam

No comments: