Thursday, September 08, 2005

Semangat sukarelawan harus dipupuk sejak kecil

Warkah Kepada Pengarang Akhbar Berita Harian
Disiarkan pada hari Jumaat, 22 September 2000,
mukasurat 32 (Ruangan Surat)


SAYA bersetuju dengan kenyataan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang mahu mewujudkan pasukan sukarelawan sosial berkualiti sebagaimana dilaporkan akhbar ini pada 8 September 2000.

Semangat sukarelawan agak rendah di kalangan masyarakat Malaysia, terutama Melayu, walaupun agama Islam memerlukan kita memenuhi tuntutan fardu kifayah disamping melaksanakan kewajipan fardu ain.

Ramai antara kita yang keberatan untuk mengorbankan sedikit masa dan tenaga bagi kepentingan masyarakat umum.

Lebih membimbangkan lagi, ketandusan semangat kesukarelawan jelas dilihat berlaku di kalangan anak muda, generasi pewaris bangsa.

Tanpa ganjaran dan habuan, tidak ramai yang ingin tampil memberi sumbangan mereka. Jika setiap kerja perlu diberi ganjaran, semangat sukarela tidak akan tercerna. Ada juga yang bekerja kerana diarah atau dipaksa. Semangat sebegini perlu dikikis segera.

Umum mengetahui rumah adalah tempat proses mendidik pertama dan yang paling utama bagi seseorang kanak-kanak.

Oleh itu, semangat sukarelawan perlu dipupuk dari rumah lagi.

Ibu bapa perlulah memainkan tanggungjawab masing-masing dalam membentuk nilai murni anak-anak.

Ibu bapa perlu menjadi contoh. Jabatan Kemajuan Masyarakat boleh memainkan tanggungjawab membekalkan ilmu dan melengkapkan ibu bapa dari segi mendidik dan menangani anak-anak terutama di era ledakan teknologi maklumat masa kini.

Sekolah adalah institusi pendidikan kedua bagi setiap kanak-kanak atau pelajar.

Selain menekankan aspek kecemerlangan akademik, sekolah juga perlu memainkan tanggungjawab dalam penerapan nilai murni di kalangan murid atau pelajar masing-masing. Dalam konteks ini, kegiatan kokurikulum perlu diberi lebih penekanan kerana ia banyak membantu mendidik seorang individu kepada nilai hidup murni yang diperlukan oleh negara.

Guru boleh mengaturkan program gotong-royong di sekolah. Pelajar juga boleh dibawa ke institusi kebajikan seperti rumah orang tua dan pusat kanak-kanak cacat untuk melakukan projek gotong-royong seperti membersih kawasan, menanam pokok dan mengecat bangunan.

Kegiatan sebegini akan menerapkan sikap penyayang dan rasa tanggungjawab di kalangan pelajar.

Selain itu, pelbagai pihak boleh menyumbang ke arah membentuk pasukan sukarelawan berkualiti. Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat boleh mendaftar serta mengeluarkan direktori sukarelawan dan pertubuhan kebajikan mengikut kawasan.

Direktori ini dapat membantu keluarga serta individu yang memerlukan khidmat sukarelawan.

Syarikat pengangkutan awam boleh memberi potongan tambang kepada sukarelawan. Begitu juga dengan hospital serta klinik swasta. Ini pastinya memudahkan sukarelawan serta menggalakkan lebih ramai lagi tampil memberi khidmat secara sukarela.

Lidah Buaya
Shah Alam

No comments: