Sunday, September 25, 2005

Pelajar UiTM Peka

Dalam usaha menerapkan nilai murni di kalangan para pelajar, satu usaha amal telah dilancarkan. Program amal ini melibatkan kutipan derma oleh pelajar-pelajar Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Semester 07 UiTM Shah Alam. Pelajar-pelajar telah membuat kutipan secara kumpulan kecil selama dua minggu. Mereka mengunjungi bilik-bilik kuliah, bilik-bilik pensyarah, kolej kediaman pelajar, ibubapa, dan rakan-rakan. Antara mereka yang telah menderma adalah pelajar dan pensyarah di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitaif, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Senilukis dan Senireka, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) (juga jemaah masjid UiTM), penghuni kolej Mawar, kolej Melati dan kolej Anggerik. Sumbangan juga diterima dari ibubapa serta rakan-rakan pelajar. Sejumlah RM6000.00 telah berjaya di kumpulkan. Pasaraya Giant Taman Sejati Indah Sungai Petani telah bermurah hati menaja sebahagian kos pembungkusan hamper dan menyumbang 6 dozen air mineral 1.5L untuk program ini.


Pelajar-pelajar menyusun hamper. Sejumlah 106 buah hamper disampaikan


PIHAK JABATAN PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH INGIN MENGUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH KEPADA PARA PENDERMA YANG TELAH MEMBERIKAN KERJASAMA SERTA SOKONGAN TERHADAP USAHA MURNI INI.

Tn. Hj. Ahmad Suhaimi, pensyarah UiTM bersama En. Ismail, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Long, Pengerusi JKKK Kg. Tepi Sungai

Dalam program lawatan akdemik untuk projek studio mereka pada 16 hingga 26 Ogos yang lalu, para pelajar sempat mengadakan satu majlis penyampaian sumbangan pada malam 22 Ogos 2005. Kutipan yang dikumpul disampaikan dalam bentuk ”hamper” kepada penduduk Kg. Kepala Jalan dan Kg. Tepi Sungai, Mukim Kuala dan Hj. Kudong, Daerah Kuala Muda, Kedah Darul Aman. Mereka ini merupakan penduduk kampung yang telah terlibat dengan bencana tsunami dan mengalami kerosakan rumah dan harta benda semasa kejadian berlaku pada 26 Disember 2004 yang lalu.


Mangsa bencana Tsunami yang hadir sempat bercerita kepada pelajar-pelajar pengalaman mereka semasa bencana berlaku


Penyampaian sumbangan ini merupakan titik permulaan kepada jalinan hubungan yang berterusan di antara para pelajar dengan masyarakat kampung. Adalah diharapkan pelajar-pelajar akan kembali mengunjungi keluarga angkat mereka di Kg. Kepala Jalan dan Kg. Tepi Sungai dimasa-masa akan datang.

Pn. Habsah Hashim, penyelaras studio Sarjana Muda Perancangan Bandar & Wilayah 07 meraikan mangsa bencana tsunami

Berbagai usaha susulan boleh diaturkan mengikut keperluan masyarakat kampung dan juga kemahiran serta kebolehan para pelajar. Moga ikatan silaturrahim yang telah dibina ini terus kekal – paling tidak, sekadar menjenguk dan bertanya khabar kepada keluarga angkat – juga sudah memadai. Walaupun para pelajar sudah tamat pengajian dan telah menjawat jawatan tinggi nanti, moga hubungan silaturrahim yang telah dibina akan terus berkekalan.

Penghargaan buat Jawatankuasa Kelas yang sanggup menyahut cabaran ini... Radzi dan Norida serta Syazrul yang berjaya menggerakkan rakan-rakan pelajar yang lain.

Masyarakat kampong menyambut baik kehadiran pelajar-pelajar UiTM. Penduduk berterima kasih di atas ingatan dan usaha pelajar-pelajar ini

SYABAS KEPADA SEMUA PELAJAR-PELAJAR SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH SEMESTER 07, JULAI-NOVEMBER 2005 DI ATAS USAHA DAN KEIKHLASAN ANDA SEMUA UNTUK MENJAYAKAN PROJEK AMAL INI

1 comment:

Dr K said...

Tahniah kepada pelajar2 Perancangan Bandar dan Wilayah!. Ini menunjukkan mereka tetap bertujangkan local walaupun nanti berjawatan tinggi...bak kata TPM jadilah bangsa Glokal. Tahniah juga pada Puan Habsah kerana berjaya menjalankan projek amal dalam program lawatan akademik beliau.
Tahun depan, insyaallah myparks akan gerakkan XTVT begini di kampung tersebut.